... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday, 12 November 2013

Nota Debat


 
 
CINTA PERTAMA LEBIH INDAH DARIPADA CINTA KEDUA (Bahagian 1)

 
Disclaimer: kali ini ganti nama ‘saya’ yang menjadi kebiasaan sengaja digantikan dengan ‘aku’. Rasa lebih serasi dengan emosi, lebih mudah merapikan isi. Semoga lebih mudah dihazami!

 
Bunyi titis air menghantar isyarat ada mesej yang masuk di telefon bimbit baru yang aku miliki beberapa hari lalu. Aku tidak segera mencapai gajet yang letaknya hanya di atas meja kopi di hadapanku. Fokusku masih pada novel yang berbaki beberapa halaman sahaja lagi.

            Selesai ke noktah terakhir ‘Love You Mr. Arrogant’, aku meletakkan novel itu di rak yang terletak bersebelahan meja kerjaku. Telefon kucapai, mesej WhatsApp kubuka. Hadif! Salah seorang daripada anak-anak debatku yang kini telah pun bergelar mahasiswa di IPTA. Hmm! Selalunya dia mengutusi ‘sifu’ apabila ketandusan idea untuk berhujah di podium debat.

            Aku selalu merasakan bahawa aku adalah guru kepada anak-anak didikku selama hayat mereka. Kini, setelah ramai yang Berjaya dalam kehidupan masing-masing, masih lagi mengutusi aku. Bertanyakan itu dan ini, isu-isu semasa sehinggalah kepada pandangan terhadap sesuatu pilihan yang mereka perlu lakukan! Agh! Anak-anak didikku itu akan menjadi anak didikku selama-lamanya.

            Bibir dan mataku melirik senyum. “Ummi, bagi idea tentang usul debat ini: Cinta PERTAMA lebih indah daripada cinta KEDUA. -- pencadang” Aku menghantar tanda  ‘thumb up’. Tajuk ini memang selalu menjadi usul perdebatan semasa aku aktif berdebat di kampus dulu. Kacang usul ni, desis hati kecilku.


            Aku kemudiannya mengirimkan beberapa hujah sekadar untuk membuka laluan pemikiran kepada anak muda bernama Hadif yang meneruskan usaha untuk berkecimpung dengan dunia perdebatan di kampus yang lebih santai. Tidak seperti usul dalam perdebatan di peringkat sekolah, kebanyakan usul yang dibahaskan dalam debat peringkat varsiti adalah lebih mudah. Dan menyeronokkan! Tidak terlalu menyerabutkan kepala otak untuk memikirkan hujah-hujah yang berat-berat!

            Ada senyuman di mata dan hatiku. Terkenang ketika dulu. Hmm .. bukan terkenang cinta pertama. Tapi terkenang ketika aku mendebat usul ini semasa bergelar mahasiswa dulu. Berapi-api mempertahankan hujah yang entah apa-apa entah! Hahaha! Selalu kalau berdebat, matlamat nak menang saja. Sedangkan hakikatnya, prinsip perdebatan itu ialah untuk mencari kebenaran! Proses perdebatan itu mematangkan pemikiran,  memperkayakan pengalaman. Memperteguhkan pengalaman, memperkasakan keperibadian. Towering personality – ahaks! Aku meminjam istilah yang lazim digunakan oleh penceramah-penceramah masa kini.

            Daripada empat orang pendebat, akulah satu-satunya Teja di tengah-tengah tiga orang Tuah dalam pasukan itu. Namun, selalunya Tejalah yang mendominasikan diskusi debat dalam siri latihan. Tuah Bertiga yang menjadi rakan sepasukan debatku masing-masing daripada Fakulti Kejuruteraan, Sains dan Sastera lebih banyak mendengar. Dan menlontarkan bidasan. Bidasan-bidasan aras tinggi yang ada kala aku berjeda juga memberikan jawapan balas. Menyedari kelebihan mereka, aku sentiasa memastikan keberadaan aku di meja perbincangan sentiasa dengan persediaan. Biasalah mahasiswi, memang selalunya lebih rajin dan gigih berusaha daripada mahasiswa.
 
 
                                   ..... bakal bersambung ......

No comments: