... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday, 12 November 2013

Nota Debat 2


CINTA PERTAMA LEBIH INDAH DARIPADA CINTA KEDUA (Bahagian 2)
 
 


Tajuk usul debat berkenaan ‘cinta’ memang aku cukup tak suka pada zaman belajar di kampus. ‘Teja anti cinta’ .. itu adalah antara usikan Tuah dalam pasukan debat kami. Sebenarnya aku bukan anti ‘cinta’, cuma aku tidak berminat membincangkan soal-soal ‘cinta’ yang pada aku terlalu remeh untuk didebatkan oleh golongan mahasiswa yang beraspirasi dan mempunyai idealism tersendiri. Usul-usul seperti inilah antara penyebab aku tidak terlalu bergiat aktif dalam perdebatan. Selebihnya, aku sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain yang juga lebih bermanfaat!

 

Seminggu lagi, pasukan kami akan dipertemukan dengan pasukan debat dari UPM. Kali ini debat persahabatan (kalau aku tak silaplah). Membahaskan usul gila-gila ini yang telah disepakati oleh pihak urusetia. Aku kehilangan ruang untuk membantah, jauh sekali membentangkan usul yang lebih ilmiah sifatnya. Memandangkan itu debat persahabatan, aku kira aku perlu mengutamakan ‘tolak-ansur’. Siri latihan berlangsung seperti biasa di Anjung Ilmu yang letaknya di blok Asrama Siswa Kolej Tunku Abdul Rahman. Waktu pun biasa, selepas Solat Isyak. Aku datang pun dengan ‘pegawai pengiring’ku yang biasa – Nisa’ – yang akan duduk tidak jauh daripada meja diskusi sambil menelaah nota-nota kuliah. Dia memang sahabat yang baik, banyak berkorban untuk sahabatnya!

 

Setelah  meninggalkan debat kampus sejak pertengahan tahun 1990-an, aku kembali menurunkan idea-idea pihak pencadang kepada Hadif, anak debatku melalui sepucuk mel elektronik. (Betulkah penjodoh bilangan ini?) Aku harap idea-idea yang tidak seberapa itu dapat membantu Hadif dan pasukannya melepasi peringkat demi peringkat sepanjang perdebatan itu. Selalunya beginilah, anak-anak debatku yang kini bertebaran di merata universiti yang masih giat berdebat, sesekala akan mencari ‘sifu’ yang tak berapa ‘sifu’ ini. Meminta pandangan dan cadangan-cadangan isi. Kadang-kadang meminta aku membuat bidasan terhadap hujah-hujah yang mereka pilih. Serius, aku sukakan keadaan ini. Sekurang-kurangnya aku tahu bahawa penat-lelahku ketika menjadi guru debat mereka meninggalkan ‘kesan’ dalam kehidupan mereka. Perjalanan hidup anak-anak muda ini masih panjang. ‘Kemenjadian’  dan ‘keberhasilan’ yang mereka dapat daripada siri pendidikan yang mereka jalani di sekolah dapat diguna-pakai dalam ‘dewan kehidupan’ mereka adalah suatu ‘keabadian kesan’ yang wajib disyukuri oleh pendidik dan pencinta pendidikan tegar seperti aku! (Alhamdulillah, ya Allah! Engkau jadikanlah anak-anak didikku ini golongan yang beramal dan memanfaatkan segala ilmu yang baik-baik.)

 

Sebahagian daripada idea-idea itu, tertera seperti berikut. Di luar sana, kalau ada pendebat muda yang berniat hendak ‘mencedok’, silakan – tidak menjadi kesalahan. Bagi golongan dewasa muda yang pernah ‘mengurus’ pengalaman cinta pertama, tahniahlah! Anda berjaya melepasi satu tahap emosi kritikal yang anda sendiri memilihnya. Amaran kepada golongan ‘dewasa tua’ yang memegang ‘four series’ .. namun ada kala masih terkenang cinta pertama yang telah hilang – terimalah hakikat bahawa anda dan dia hanya ditakdirkan jodoh untuk bertemu tapi bukan untuk bersatu. Berbahagialah dengan cinta yang anda miliki sekarang. Barangkali Allah sengaja menguji keimanan anda untuk menjauhkan ‘cinta pertama’ anda agar anda memiliki cinta kedua yang lebih sempurna. Kalau dah masuk ‘4 siri’ sebenarnya, usia hanya tinggal sisa. Isi sisa usia ini dengan cinta yang lebih hakiki dan abadi sifatnya!

 

Anakanda Hadif, Assalamualaikum wrt. wbt. Semoga di bawah payungan kasih sayang, Rahman dan Raheem-Nya selalu. Tahniah kerana memilih untuk terus berdebat! Ingat selalu adab-adab berdebat menurut syariat ya! Ummi kongsikan beberapa idea sekadar untuk ‘brainstorming’. Boleh bertanya kawan-kawan yang pernah terjebak dengan cinta pertama kerana pengalaman mereka lebih ‘autentik’ sifatnya. Terus-terang, terang-terus .. Ummi tiada pengalaman itu kerana cinta pertama Ummi adalah ‘karya-karya seni’. Hahaha!

 

Jujur, Ummi tiada kenangan dan pengalaman cinta pertama dan kedua. Bercinta pun hanya setelah diikat dengan akad. Manalah nak datang cinta kedua pula. Jadi, memang tidak dapatlah menyandarkan hujah-hujah ini kepada pengalaman peribadi secara komparatif. Cuma Ummi ‘berhujah’ ini berdasarkan pemerhatian dan pembacaan serta pengalaman orang lain. Sekadar membuka fail perdebatan. Ummi ada bertanyakan seorang sahabat lama Ummi, pensyarah Psikologi di USM tentang kajian psikologis mengenai cinta pertama, tetapi katanya – tidak pernah pula dia ketahui!

 

ISI PENCADANG: CINTA PERTAMA LEBIH INDAH?

 

·         (a) Definisi cinta pertama – perasaan halus yang hadir dalam hati, menakluki perasaan dan rasa itu bermukim di situ bermusim-musim lamanya – rasa sayang pada seseorang yang dipanggil insan pertama. Maknanya, cinta pertama ini adalah perasmi kepada lembaran cerita-cerita hati yang meninggalkan suatu kesan yang berpanjangan tidak diketahui sampai bila. Keabadian kesan itu banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti psikologi dan beberapa ‘logi’ lain. (Buat kajian sikitlah ya!)
 
 
                                           ............ bakal bersambung .........

 

No comments: